Speedy Tigers di landasan terbaik ke Paris 2024

Speedy Tigers mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India yang bermula 13 hingga 29 Januari depan. - Foto Asian Hockey Federation
Speedy Tigers mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India yang bermula 13 hingga 29 Januari depan. - Foto Asian Hockey Federation
A
A
A
THE Speedy Tigers berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, berdasarkan prestasi membanggakan dalam kejuaraan Piala Asia 2022 yang berakhir pada Rabu.

Demikian pandangan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Datuk Dr S Shamala, yang memuji skuad kendalian Arul Selvaraj walaupun tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada perlawanan akhir di Jakarta.

Malah Shamala amat kagum dengan keputusan enam perlawanan tanpa kalah Speedy Tigers sebelum perlawanan akhir Piala Asia dan menyifatkan kekalahan tipis kepada Korea Selatan pada pertarungan kejuaraan tersebut sebagai sesuatu yang malang.

"Muncul pasukan nombor dua di Asia adalah perkara yang sangat besar...mereka menampilkan persembahan terpuji dan bermain dengan baik sepanjang kejohanan. Sudah tentu, adalah lebih baik jika pemain dapat menjulang trofi Piala Asia,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Bagaimanapun beliau berkata, seseorang harus melihat pencapaian pasukan dalam konteks yang lebih luas, terutamanya memandangkan ini adalah kejohanan pertama mereka sejak wabak Covid-19 melanda dan menghentikan persada sukan mulai awal 2020, sambil menambah bahawa para pemain berhak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya atas prestasi cemerlang barisan pemain negara.

"Banyak penambahbaikan boleh dilihat dalam pasukan dari segi serangan dan, terutamanya, penjaga gol. Penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman dan (jurulatih) A. Arul telah melakukan kerja yang sangat baik dalam mengisi kekosongan ditinggalkan bekas penjaga gol utama negara, S Kumar yang telah bersara,” tambahnya.

Kekalahan di tangan Korea Selatan menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian terbaik sebelum ini apabila turut muncul naib juara pada edisi 2017 di Dhaka, Bangladesh sejak kejohanan diperkenalkan pada 1982.

Walaupun tidak berjaya muncul juara Asia, namun Malaysia sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India yang bermula 13 hingga 29 Januari depan selepas menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik di Jakarta.

Melihat ke hadapan, Shamala berkata, MHC dengan bantuan jurulatih kecergasan baharu,Tom Drowley, merancang untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia 2023 dan Sukan Asia yang ditangguhkan yang menawarkan tempat automatik kepada juara dalam Paris 2024.

Selain Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada November ini, Shamala berkata, MHC juga akan membariskan beberapa perlawanan ujian antarabangsa di Malaysia serta menghantar Speedy Tigers ke luar negara untuk siri perlawanan jelajah.

Mengenai penangguhan Sukan Asia, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 25 September ini, beliau berkata ia akan memberi lebih banyak masa kepada pasukan untuk membuat persiapan.

Berdasarkan kriteria kelayakan, tuan rumah Perancis dan lima juara benua (Sukan Asia untuk wilayah ini) akan mendapat slot automatik untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Enam belas pasukan kemudian akan bersaing untuk merebut baki enam tempat menerusi kejohanan yang akan diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Malaysia kali terakhir tampil di Sukan Olimpik ialah pada edisi Sydney 2000. - Bernama