KPDNHEP rampas barang tiruan berjumlah RM94.65 juta

Rosol (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran MyORI SmartSecure & Program Kepenggunaan pada Khamis.
Rosol (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran MyORI SmartSecure & Program Kepenggunaan pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas 1,160 barangan tiruan membabitkan nilai RM94.65 juta sejak 2019 hingga Mei tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia hasil kejayaan daripada 14,187 pemeriksaan yang dijalankan dalam tempoh tersebut.

"Sebanyak 661 aduan berkaitan barangan tiruan diterima pada tahun 2020, 443 aduan pada tahun 2021 dan 131 aduan direkodkan sejak 1 Januari 2022 hingga semalam (Rabu).

"Aduan yang diterima juga membabitkan penjualan barangan tiruan di premis fizikal dan secara dalam talian.

"KPDNHEP tegas dalam menguatkuasakan perundangan untuk membanteras isu barangan tiruan dan cetak rompak menerusi Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran MyORI SmartSecure & Program Kepenggunaan pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyORI Services Sdn Bhd, Ling Ken Ji.

Dalam pada itu, beliau juga percaya pengenalan aplikasi MyORI SmartSecure yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store akan membantu dalam mengatasi masalah barang tiruan.

Katanya, produk yang berdaftar dengan MyORI SmartSecure akan dibekalkan pelekat pada produk tersebut untuk memudahkan pengguna mengenali produk asli.

"Ini membolehkan pengguna dapat menyemak dan membeli barangan yang tulen terutama untuk produk makanan atau ubatan.

"Produk lain juga terbuka untuk mendaftar bersama MyORI Services," katanya.

Aplikasi tersebut dibangunkan oleh syarikat SHSA World Sdn Bhd dan MyOri Services Sdn Bhd, manakala KPDNHEP bertindak selaku fasilitator.