Tabung Pendidikan Negeri Sabah kumpul dana permulaan RM54.5 juta

Hajiji menerima replika cek daripada GLC yang menyumbang dana kepada TPNS di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji menerima replika cek daripada GLC yang menyumbang dana kepada TPNS di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Sabah berjaya mengumpul dana Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebanyak RM54.5 juta bagi membantu anak Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, TPNS adalah inisiatif kerajaan dalam pembangunan modal insan dan bertujuan membantu anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, ini supaya mereka mendapatkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPT dan usaha ini termasuk dalam inisiatif hala tuju Sabah Maju Jaya.

"Ini adalah tabung untuk pendidikan untuk anak Sabah daripada golongan B40 dan ia berbeza dengan biasiswa kerajaan negeri atau pinjaman Yayasan Sabah.

"Fungsinya berlainan, tetapi tujuannya sama untuk memberi bantuan kepada anak-anak Sabah yang datang daripada keluarga miskin dan mendapat keputusan peperiksaan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Hajiji berkata, pemberian bantuan itu akan bermula pada tahun ini kepada pelajar yang berminat untuk mendapatkan dana bagi melanjutkan pengajian.

"Mereka mesti memohon, kalau tidak kita tidak tahu mereka berminat atau tidak untuk masuk ke IPT atau universiti.

"Keutamaan penajaan juga adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru semua pihak termasuk syarikat besar yang beroperasi dan meraih keuntungan di Sabah agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS mengumpul dana yang diperlukan.

"Selain dana yang diberi secara terus kepada kerajaan negeri, kita juga minta Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta untuk membantu dan jika mereka bantu, mereka boleh dikecualikan daripada membayar cukai," katanya.