Tiga termasuk dua warga Yaman didakwa edar 205 gram kanabis

Tiga lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.
Tiga lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai tiga lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengedar 0.205 kilogram dadah jenis kanabis dua minggu lalu.

Dua warga Yaman yang juga pelajar kolej swasta, Ahmed Mohammed Qasem dan Hussein Mohamed Ali manakala penganggur, Reda Hassan Ameen Mohamed dari Sudan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian di sini pada jam 8.30 malam, 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan untuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.

Tertuduh Ahmed dan Hussein diwakili peguam Mohd Ruzaini Zulkifli manakala Reda oleh Mohd Kifli Abu Samah serta Shahrul Amali Shafie.

Pada 23 Mei lalu, polis memberkas lima lelaki warga asing kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuan berasingan sebuah kondominium sekitar Hartamas dan Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan pertama dijalankan pada jam 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.

Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki warga asing di sebuah kereta jenis Toyota Yaris bersama beg yang mengandungi satu ketulan ganja seberat 1.04 kilogram.

Menerusi serbuan kedua di sebuah kondominium di sekitar Petaling Jaya jam 8.30 malam, beliau berkata, polis memberkas tiga lagi lelaki warga asing.

Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan di premis terbabit polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM3,250 yang boleh dibekalkan kepada 2,400 pelanggan.