BN perlukan gabungan muka lama, baharu: Mahdzir

Mahdzir (empat dari kanan) hadir Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
Mahdzir (empat dari kanan) hadir Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Gabungan calon muka baharu dan lama diperlukan Barisan Nasional (BN) bagi 'mewajahkan' semula parti itu dalam usaha untuk membina kembali kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemilihan muka lama dan baharu penting selain perlu seimbang dalam pelbagai peringkat usia.

"Campur- campurlah...kena ada yang muda dan yang tua. Orang tua itu tidaklah tua sangat tetapi mempunyai pengalaman luas," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Pantai Tanjung Balau di sini pada Khamis.

Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai BN perlu mewajahkan semula parti sebagaimana gesaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika berucap pada Konvensyen BN pada Rabu.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar memaklumkan beliau dan kepimpinan tertinggi UMNO belum dipanggil berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

"Belum bincang lagi ( bubar Parlimen) tetapi akan ada perbincangan, InsyaALLAH. Saya tak pasti, Perdana Menteri tidak panggil lagi. Kalau dia panggil saya pergi (perbincangan) saya akan beritahu," katanya.

Ketika berucap pada Konvensyen BN Rabu lalu, Ismail Sabri bersetuju untuk berbincang dengan 'Top Five UMNO' (kepimpinan tertinggi) bagi menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Top Five merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.