Rempuh kenderaan polis, suami isteri direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Lelaki dipercayai pengedar dadah yang melarikan diri dengan memandu kereta secara berbahaya bersama isteri dan anaknya di Ayer Tawar, Manjung pada Rabu telah direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tahanan reman terhadap lelaki berusia 61 tahun itu dibuat sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurutnya, isteri suspek berusia 38 tahun yang berada bersama dalam kereta terbabit ketika kejadian turut direman, manakala anak mereka berusia dua tahun diserahkan kepada waris terdekat.

"Ujian awal saringan air kencing yang dilakukan mendapati suami isteri terbabit positif methamphetamine," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, pihak polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta jenis Volvo dipandu suspek selepas bertindak merempuh kenderaan anggota polis

Tangkapan ke atas suspek dibuat selepas polis mengejar kenderaan berkenaan sejauh 800 meter dan pemeriksaan dalam kereta itu menemui 33 peket syabu dianggarkan seberat 62.5 gram.