Tengku Permaisuri Norashikin lancar benih tanaman Selangor

Tengku Permaisuri Norashikin menyiram pokok nangcem pada Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di SFV di Bestari Jaya di sini pada Khamis.
Tengku Permaisuri Norashikin menyiram pokok nangcem pada Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di SFV di Bestari Jaya di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Tengku Permaisuri Norashikin tiba kira-kira jam 9.40 pagi Khamis dan berkenan mendengar ucapan aluan daripada Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Baginda kemudian mendengar taklimat SFV daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Green World Genetics (GWG).

Tengku Permaisuri Norashikin turut melihat sendiri lima jenis buah-buahan hasil benih baharu yang dipamer kepada orang ramai sebelum berkenan menyiram pokok nangcem (kacukan nangka dan cempedak).

Izham berkata, terdapat lima benih tanaman penjenamaan baharu yang dilancarkan Tengku Permaisuri Norashikin.

"Lima benih itu ialah dua melon iaitu melon Selangor, Selangor sweet melon dan dua jenis jagung iaitu bijirin untuk makanan ayam dan jagung manis serta betik," katanya.

Tambah beliau, lima tanaman bagi pengeluaran benih itu akan diusahakan secara meluas di negeri ini bagi membantu petani mengusahakan tanaman itu yang berpotensi tinggi pada masa depan.

"Projek ini akan diusahakan PKPS secara besar-besaran, misalnya tanaman betik di Sungai Air Tawar membabitkan kawasan seluas enam hektar dan jagung di Bukit Changgang di kawasan seluas 12 hektar," ujar beliau.

Beliau memberitahu, tanaman itu dijangka menjadi penanda aras baharu dalam bidang pertanian moden di Selangor.

"Kita akan promosi produk ini supaya petani dapat akses kepada benih dan kaedah penanaman dan hasil mereka juga boleh meningkat," jelasnya.