Tewaskan Itali kejayaan membanggakan

Messi mengetui skuad Argentina menjulang trofi Finalissima 2022 pada Khamis. - Foto EPA
Messi mengetui skuad Argentina menjulang trofi Finalissima 2022 pada Khamis. - Foto EPA
A
A
A

BINTANG Argentina, Lionel Messi menyifatkan kejayaan menewaskan Itali 3-0 pada aksi Finalissima di Wembley, pada Khamis sebagai kejayaan yang membanggakan.

Menurut Messi, kemenangan ke atas juara Eropah itu nyata menjadi kemenangan yang bermakna dan sekali gus membuktikan Argentina sebagai antara pasukan terbaik ketika ini.

Malah, biarpun mengetahui berdepan aksi yang berintensiti tinggi, namun skuad La Albiceleste itu telah mempamerkan aksi mantap bagi menewaskan skuad Azzurri.

“Ini merupakan sejarah apabila kami berjaya menewaskan salah satu pasukan terbaik di dunia seperti Itali yang juga juara Eropah.

“Walaupun berdepan aksi berintensiti tinggi, pemain kami masih mampu beraksi dengan baik hingga berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya.

Pada aksi final berkenaan gol Argentina dijaringkan Lautaro Martinez pada minit ke-28 sebelum Angel Di Maria dan pemain gantian Paulo Dybala masing-masing meledak jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama dan kedua bagi mengesahkan kemenangan La Albiceleste.

Untuk rekod, Finalissima kali ini merupakan aksi ketiga setelah edisi pertama menemukan juara Eropah 1984, Perancis dengan juara Copa America 1983 Uruguay pada 1985 manakala edisi kedua pada 1993, menemukan juara Eropah 1992, Denmark dan Argentina selaku juara Copa America, 1991.

Perancis muncul juara edisi pertama setelah menewaskan Uruguay 2-0 sementara Argentina menewaskan Denmark 5-4 pada edisi kedua.

Sementara itu Messi menyifatkan aksi final kali ini sebagai aksi yang cukup indah dan sukar dilupakannya untuk tempoh masa yang agak lama.

“Bagi kami aksi final kali ini ternyata cukup indah dan sebab itu kami menyifatkan kemenangan yang dicipta sebagai kejayaan bermakna,” katanya.