Muka baharu terajui PKR, kehendak ahli mahu pembaharuan: Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

REMBAU - Sebahagian besar pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini diterajui muka baharu susulan kehendak ahli yang inginkan pembaharuan sekali gus tidak akan terikat dengan kehendak mana-mana individu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar berkata, ia turut memberi peluang kepada pemimpin baharu terbabit untuk mencorakkan sendiri hala tuju parti selepas ini dengan lebih baik.

"Saya yakin kalau ini caranya, inilah yang terbaik sebenarnya. Kita tidak terikat dan tidak boleh mengikat ahli-ahli bawahan untuk membuat perubahan yang dikehendaki... tak sentiasa orang lama akan bertahan.

"Kita sedia maklum bahawa ahli PKR sekarang telah mencapai 1.1 juta orang dan sebahagian besarnya anak muda. Jadi kita rasa mereka mempunyai hak untuk menentukan masa depan, mereka mahu pembaharuan, ingin 'roh' yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan LED Billboard Daerah Rembau dan Perkhidmatan Bas Henti-henti Luar Bandar (RENTAS NS) Daerah Rembau dan Tampin, pada Rabu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Aminuddin yang pertama kali bertanding jawatan Naib Presiden menang selepas memperoleh 38,894 undi.

Selain Aminuddin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut memenangi jawatan itu selepas meraih 52,845 undi diikuti Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (41,209) dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (40,506). - Bernama

Artikel Berkaitan: