Padah buang sampah secara haram, lelaki didenda RM1,500

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANTING - Perbuatan seorang lelaki membuang sampah secara haram di Telok Panglima Garang membawa padah apabila didenda RM1,500 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan oleh Mahkamah Telok Datok di sini.

Majistret Khairul Farhi Yusob menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berkenaan didakwa di bawah Undang-Undang Kecil (UUK)4, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) juga telah menyita sebuah ekskavator model Sany SY215C ekoran kesalahan yang dilakukan itu.

Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang melakukan pembuangan sampah haram di daerah itu.

Menurutnya, pembuangan sampah haram secara berleluasa akan mengakibatkan pencemaran berlaku dan menjejaskan kesihatan orang awam.

"Penduduk Kuala Langat perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran di daerah ini bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan penduduk.

"Sekiranya anda melihat aktiviti pembuangan sampah haram. Anda boleh laporkan kepada MPKL melalui talian 03-31872825 atau 03-31872732," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.