HFMD: Hanya tiga kes di ICU setakat ini

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga 28 Mei lepas, hanya tiga kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) daripada 65,535 kes yang dilaporkan, dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71 manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut.

"Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei untuk pemantauan lanjut manakala kes pertama dan kedua masih di bawah pemantauan rapi di ICU,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (pada 28 Mei) sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh sama bagi 2021 (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes.

"Jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik Covid-19) dengan kes sebanyak 29,846, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 kali ganda.

"Kes HFMD yang dilaporkan bagi ME 21/2022 pula adalah 18,602 berbanding 15,548 pada ME 20/2022 iaitu peningkatan sebanyak 19.6 peratus," katanya.