JHEAINS lupus komputer berkaitan kes judi bernilai RM100,000

A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah melupuskan 36 unit komputer berkaitan kes judi dianggarkan bernilai RM100,000 pada Rabu.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, semua barangan itu hasil rampasan dalam operasi dilakukan di premis judi di Negeri Sembilan dari tahun 2010 sehingga 2016.

"Barang berkaitan judi yang dilupuskan ialah kes yang telah selesai dibicarakan di mahkamah bagi kes di bawah Seksyen 79A(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (JSNS) 1992 iaitu berjudi.

"Barang-barang yang dilupuskan telah mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah atau Ketua Pendakwa Syarie berdasarkan peruntukan Seksyen 205(2)Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003," katanya ketika sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah.

Menurutnya, sebanyak RM90,000 jumlah denda yang dikenakan kepada semua tertuduh yang telah disabitkan di mahkamah.

Beliau berkata, JHEAINS dengan kerjasama pelbagai agensi akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti perjudian yang melibatkan orang Islam.

"Sekarang ini aktiviti perjudian ini pelbagai bentuk. Dulu nak berjudi perlu pergi ke kedai, tapi sekarang sudah boleh main dalam bilik saja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pemantauan itu dilakukan berterusan bagi memastikan kegiatan perjudian ini dapat dibanteras," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JHEAINS tidak menerima sebarang laporan perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum ketika menunaikan solat di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Mohd Zaidi mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai kerana perbuatan itu telah memperlekehkan agama dan ibadah.

"Kalau ada maklumat kita akan ambil tindakan. Memakaikan telekung pada kipas dan menggangapnya sebagai jemaah, saya anggap ia memperlekehkan agama dan ibadah.

"Apa saja soal ibadah jangan jadikan ia sebagai bahan gurauan. Ibadah adalah serius dan tak boleh buat alat mainan untuk jadi kandungan dalam media sosial," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.

Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.