Marcelo, Isco gembira pengakhiran Real Madrid

Marcelo dan Isco antara watak utama Real Madrid.
Marcelo dan Isco antara watak utama Real Madrid.
A
A
A

KAPTEN Real Madrid, Marcelo dan pemain tengah, Isco memberikan bayangan dua tonggak Los Blancos itu akan meninggalkan juara Sepanyol dan Eropah selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara kelima bersama kelab Madrid berkenaan.

“Ia adalah detik indah dalam hidup, saya menutup kitaran di sini, di kelab terbaik di dunia. Hari ini bukan hari kesedihan, tetapi hari kegembiraan kerana kami sekali lagi memenangi kejuaraan terbaik di dunia. Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan juga keluarga saya.

"Saya beritahu anda satu perkara, masa depan Madrid sangat baik dengan pemain muda. Hala Madrid," kata Marcelo kepada para penyokong semasa sambutan trofi Real di Madrid.

Pemain pertahanan Brazil itu adalah pemain yang paling dihormati dalam sejarah 120 tahun Real Madrid, merangkul trofi ke-25 bersama kelab itu selepas menewaskan Liverpool 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stade de France, Paris.

Benteng kental berusia 34 tahun itu membuat lebih daripada 500 penampilan untuk kelab itu sepanjang 16 tahun berkhidmat mewarisi lilitan kapten daripada Sergio Ramos selepas pemain Sepanyol itu berhijrah ke gergasi liga Perancis, Paris St Germain (PSG) tahun lalu.

Bagaimanapun dalam beberapa musim kebelakangan ini, Marcelo mendapat minit permainan terhad menyaksikan dia hanya membuat 12 penampilan dalam liga semasa kempen 2021/22.

Untuk rekod, Marcelo membuat penampilan sulung untuk Real Madrid pada Januari 2007 selepas menyertai Fluminense.

Sementara itu, perancang Sepanyol, Isco mengesahkan penampilan terakhir bersama Los Blancos, selepas sembilan tahun di ibu negara Sepanyol itu, telah membuat lebih 350 penampilan dan memenangi 19 trofi sejak tiba di Santiago Bernabeu dari Malaga.

“Selepas sembilan tahun, saya menamatkan perjalanan di Real Madrid, sebuah kelab yang membolehkan saya memenuhi semua impian semasa kecil

"Selain memenuhi impian, memenangi lebih banyak kejuaraan daripada yang pernah saya bayangkan, bermain dengan para pemain terhebat, bertemu orang yang luar biasa, saya mempunyai masa terbaik... Jumpa anda sentiasa dan Hala Madrid,” tulis Isco di Instagram.