Banjir kilat mampu gugat aktiviti ekonomi setempat

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru artikel mengenai ‘KL bukan lagi bandar yang boleh didiami’ dalam twitter Aidil Iman Aidi telah menarik hampir puluhan ribu nitezen.

Antara kandungan yang membuat kita berfikir sejenak ialah perkongsian mengenai kekerapan banjir kilat yang sering berlaku di ibu negara sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, kesesakan lalu lintas yang semakin tenat terutama selepas pembukaan aktiviti ekonomi sejak bulan Oktober tahun lalu turut disentuh.

Perkara lain ialah ketaksuban kerajaan tempatan membina lebuh raya yang dilihat tidak membantu mengurangkan kesesakan sebaliknya mengganggu ekosistem alam sekitar kawasan perbandaran utama negara.

Kesemua fakta berkenaan tidak dapat dinafikan sebaliknya berlaku di hadapan mata kita.

Bagi penulis, artikel itu pastinya turut dibaca oleh pihak berkuasa tempatan atau pengubal dasar kerajaan atau mereka yang mempunyai banyak kepentingan di ibu negara ini yang dibangunkan sekitar tahun 1857 berikutan aktiviti perlombongan bijih timah.

Namun apa yang lebih penting adalah dari segi kaca mata komuniti peniaga dan mereka yang terlibat dalam aktiviti ekonomi.

Sudah pasti pihak berkepentingan komersil akan berfikir dua atau tiga kali untuk membuat perancangan perniagaan masa depan di bandar ini jika kerap berlaku banjir.

Walaupun banjir adalah salah satu fenomena alam yang tidak dapat dielak namun usaha ke arah mengatasi banjir perlu dilakukan secara jelas, berkesan dan konsisten oleh pihak berkuasa.

Ini kerana ketiadaan perancangan yang jitu akan menyebabkan pelabur tempatan dan luar negara berfikir berkali-kali untuk menempatkan operasi di kawasan Lembah Klang.

Menurut laporan Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) banjir yang berlaku pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian ekonomi antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion.

Dalam laporan itu, penanggung insurans Malaysia menanggung kira-kira RM1.5 bilion hingga RM2 bilion (AS$360 juta hingga AS$480 juta) atau 20 peratus hingga 30 peratus daripada kerugian ekonomi apabila bahagian yang tinggi bagi hartanah perkilangan terjejas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Kesan daripada kerugian ini menyebabkan operasi komersil terpaksa ditutup malah memburukkan keadaan jika pihak berkenaan terpaksa memberhentikan para pekerjanya.

Malah artikel Fakhrurrazi Rashid pernah menyatakan bahawa kemegahan Kuala Lumpur sebagai ibu negara sudah kian terhakis.

Pertukaran pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya pada tahun 2001 telah membuktikan Kuala Lumpur tidak dapat berfungsi sebagai pusat pentadbiran negara yang inklusif.

Malah ada berpendapat, sudah tiba masanya tumpuan aktiviti ekonomi di Kuala Lumpur dipindahkan ke tempat lain.

Sehubungan itu, pihak berwajib perlu mencari pendekatan menyeluruh agar bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kesesakan jalanraya dapat diatasi walaupun mengambil masa.

Menurut laporan kerajaan memperuntukkan belanjawan tahunan Kuala Lumpur bernilai RM2.7 bilion pada tahun 2022.

Ramai pihak berharap belanjawan itu disalurkan untuk infrastruktur menangani banjir bagi manfaat masyarakat khususnya kepada golongan M40 dan B60 seterusnya ekonomi setempat.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes