Nafas baharu dalam PKR?

Setakat Isnin, keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 memberikan gambaran terhadap perubahan kepimpinan yang bakal berlaku dalam parti utama pembangkang itu.
Setakat Isnin, keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 memberikan gambaran terhadap perubahan kepimpinan yang bakal berlaku dalam parti utama pembangkang itu.
A
A
A

SETAKAT Isnin, keputusan tidak rasmi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 memberikan gambaran terhadap perubahan kepimpinan yang bakal berlaku dalam parti utama pembangkang itu.

Paling mendapat perhatian tentunya persaingan merebut kerusi jawatan Timbalan Presiden PKR yang menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli secara tidak rasmi berjaya mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan jumlah majoriti undi besar.

Sementara itu, perebutan untuk beberapa jawatan utama kepimpinan juga menyaksikan nama yang dikaitkan dengan ‘Kem Rafizi’ yang sedang mendahului persaingan.

Terdahulu, media melaporkan menerusi keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan, Rafizi yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden memperoleh 68,992 undi jauh meninggalkan pesaingnya iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, 50,038 undi.

Manakala, bagi jawatan Naib Presiden pula, dimenangi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Jawatan Ketua AMK pula dilaporkan dimenangi oleh bekas Aktivis pelajar, Adam Adli yang mengatasi pencabarnya Fahmi Zainol.

Rafizi dalam kenyataannya pada Isnin berkata, kemenangan yang diperolehnya dengan undi selesa itu menunjukkan bahawa anggota PKR mahu parti itu kembali kepada landasan reformasi yang diperjuangkan sejak kewujudannya.

Katanya, beliau juga percaya rakyat ketika ini mahukan barisan pentadbiran daripada kalangan ahli politik yang mempunyai wawasan dan idea penyelesaian terhadap masalah dihadapi mereka.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, anggota parti itu telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR memperkukuh gabungan sedia ada dalam Pakatan Harapan (PH) dan menolak strategi ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan keputusan rasmi Pemilihan PKR bakal diumumkan pada Kongres PKR 2022 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Jun depan.

Tempoh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian yang bermula 29 Mei pula akan dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.