Kartel urus jenazah: Empat lagi individu ditahan SPRM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Empat individu termasuk dua penolong pegawai perubatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan 'kartel pengurusan jenazah’.

Menurut sumber, dua suspek yang merupakan pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 6 petang di SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan mereka disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkenaan.

“Kesemua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di negeri Selangor.

“Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021,” katanya pada Isnin.

Laporan Sinar Harian berkaitan kartel urus jenazah.
Laporan Sinar Harian berkaitan kartel urus jenazah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Bagaimanapun, tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk mendapatkan perintah reman.

Manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun telah ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.