Vaksin: Permohonan 10 individu berhubung award semakan ditolak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk waris yang didakwa tidak berpuas hati dengan suntikan vaksin Covid-19, gagal mendaftarkan award semakan kehakiman yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Timbang Tara.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh, yang menolak permohonan kesemua pemohon itu selepas berpuas hati bahawa Mahkamah Timbang Tara tiada bidang kuasa untuk mendaftarkan award tersebut.

Award semakan kehakiman itu berkaitan tindakan undang-undang yang akan diambil 10 individu terbabit bagi mencabar keputusan kerajaan menggubal dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mereka mendakwa, pelaksanaan PICK menyebabkan kematian (yang memohon melalui waris si mati), kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan diskriminasi terhadap mereka yang menolak suntikan.

Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili kesemua pemohon memberitahu pemberita, Amarjeet turut mencadangkan supaya pihaknya mengemukakan permohonan semakan kehakiman secara terus ke Mahkamah Tinggi mengikut prosedur yang betul.

Dalam permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan pada 30 Mac lepas, kesemua pemohon memohon perintah mahkamah untuk diberi kebebasan memasukkan dan mendaftarkan award semakan kehakiman bertarikh 3 Mac 2022 yang diberikan oleh Mahkamah Timbang Tara untuk difailkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka juga memohon untuk diberi kebebasan bagi memasukkan tuntutan dalam permohonan semakan kehakiman dan menyenaraikan nama responden-responden dalam permohonan mereka.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Mohamad Zainuddin berkata, pada 3 Mac lepas, kesemua pemohon telah mendapat ex-parte award dari Mahkamah Timbang Tara Kuala Lumpur.

Katanya, mahkamah itu mengarahkan supaya award permohonan semakan kehakiman hendaklah difailkan dan didaftarkan di Mahkamah Tinggi di sini dalam masa 30 hari dari tarikh ex-parte award. - Bernama