Pasangan suami isteri teruja bawa bayi 15 bulan hadiri konvokesyen

Pasangan suami isteri Abdul Aziz Ahmad, 27, dan isteri Ilham Md Nazan, 26, menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab sambil mendukung bayi mereka Ahmad Abdul Aziz yang berusia 15 bulan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Khas (gantian Istiadat Konvokesyen kali ke-22) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, pada Isnin.- Foto Bernama
Pasangan suami isteri Abdul Aziz Ahmad, 27, dan isteri Ilham Md Nazan, 26, menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab sambil mendukung bayi mereka Ahmad Abdul Aziz yang berusia 15 bulan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Khas (gantian Istiadat Konvokesyen kali ke-22) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, pada Isnin.- Foto Bernama
A
A
A

BALING - Sepasang suami isteri yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) teruja apabila berpeluang membawa bersama anak sulung lelaki berusia 15 bulan ke istiadat konvokesyen mereka, selepas tertangguh sejak dua tahun lepas.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Ilham Md Nazan, 26, berkata, beliau dan suami Abdul Aziz Ahmad, 27, yang menamatkan pengajian pada tahun 2019, sepatutnya mengikuti istiadat konvokesyen pada tahun 2020, namun ia tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

"Pada tahun 2020, saya berkahwin, dan tahun ini kami menerima berita gembira apabila majlis konvokesyen khas akan diadakan. Saya bersyukur sangat... walaupun ibu dan ayah tidak dapat bersama, namun kami teruja kerana dapat membawa anak kami, Ahmad bersama ke majlis ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Istiadat Konvokesyen Khas UniSHAMS di kampus induk Kuala Ketil dekat sini, pada Isnin. Penganugerahan dalam istiadat konvokesyen itu disempurnakan Naib Canselor UniSHAMS Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim.

Ilham berkata, beliau dan suami yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab berkenalan di UniSHAMS semasa kedua-duanya menyertai persatuan Bahasa Arab, dengan mereka masing-masing memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi 2 dan Timbalan Pengerusi 1.

"Kini kami berdua mengajar di sekolah yang sama iaitu di Maahad Al-Iman Pantai Cicar dekat sini, bezanya saya mengajar murid sekolah rendah dan suami mengajar pelajar sekolah menengah," katanya.

Menurutnya beliau dan suami berhasrat menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang yang sama sambil bekerja.

"Mungkin ada cabarannya nanti namun dengan kesabaran dan kesungguhan, kami pasti melepasinya...dan saya berharap agar anak saya juga akan mengikut jejak langkah kami berdua kelak. Saya mahu lihat anak saya pula nanti berdiri di atas pentas sama menerima ijazahnya nanti," katanya. - Bernama