Pelajar perempuan cedera terjatuh dari jejantas

Hanyan
Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di daerah ini patah pinggang selepas terjatuh dari jejantas sekolah tersebut pada jam 7.30 pagi, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa melalui jejantas tersebut selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin di sekolah.

"Mangsa dikatakan terjatuh ketika melalui jejantas setinggi kira-kira 10 meter yang menghubungkan antara dua blok akademik yang terletak di seberang jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan patah pinggang," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut Hanyan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan pelajar itu pada jam 8 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan.