Koperal, lans koperal bebas tuduhan cabul, peras ugut pasangan kekasih

Mohammad Izauddin (kanan) dan Mohd Hanafi (kiri) berpelukan selepas mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
Mohammad Izauddin (kanan) dan Mohd Hanafi (kiri) berpelukan selepas mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin daripada lapan pertuduhan termasuk melakukan seks oral, mencabul dan peras ugut terhadap sepasang kekasih di Pengkalan Chepa, dua tahun lalu.

Koperal Mohd Hanafi, 37, dan Lans Koperal Mohammad Izauddin, 32, dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Ahmad Bazli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

“Selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-duanya tanpa perlu membela diri daripada kesemua pertuduhan,” katanya.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan melakukan seks oral, mencabul dan peras ugut terhadap sepasang kekasih pada 4 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua anggota polis itu didakwa mengarahkan seorang lelaki melakukan kelucahan melampau terhadap pasangannya yang berusia 20 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Disember 2020.

Mereka turut didakwa secara bersama mengarahkan wanita berkenaan melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki selain melakukan pemerasan dengan meminta wang sebanyak RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat agama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Majdah (kiri) bertemu anak guamnya, Mohd Hanafi (dua dari kanan) dan Mohammad Izauddin (kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, pada Isnin.
Majdah (kiri) bertemu anak guamnya, Mohd Hanafi (dua dari kanan) dan Mohammad Izauddin (kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, pada Isnin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, bagi dua tuduhan berasingan, Mohd Hanafi didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan pasangan lelakinya berbogel bagi mengaibkan kehormatannya di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di lokasi sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun sama.

Selain itu, Mohammad Izauddin turut didakwa menumbuk mangsa lelaki, mengarahkan mangsa wanita berbogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan dan melakukan persetubuhan luar tabie.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan tempat letak kereta di sebuah masjid Padang Tembak di sini antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam pada tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Majdah Mohamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.