5 inisiatif baharu PKPJ bantu mudahkan rakyat Johor miliki rumah

Onn Hafiz (kanan) menyampaikan surat tawaran memiliki kediaman di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru kepada salah sorang penerima.
Onn Hafiz (kanan) menyampaikan surat tawaran memiliki kediaman di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru kepada salah sorang penerima.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) melancarkan lima inisiatif baharu dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu bertujuan memudah cara urusan rakyat bagi memiliki kediaman sendiri sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau berkata, lima inisiatif berkenaan adalah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK), permohonan baucar RM1,000, Rumah Mampu Biaya Johor, lot bumiputera serta pindah milik.

Menurutnya, menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) & Rumah Sewa Kerajaan (RSK), rakyat diberikan pengecualian sewaan pada tahun ini, diskaun bayaran tunggakan sewaan sebanyak 50 peratus serta pengurangan dokumen permohonan daripada 23 kepada enam dokumen.

Onn Hafiz (tengah) bergambar bersama penerima kediaman di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru.
Onn Hafiz (tengah) bergambar bersama penerima kediaman di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru.

Sementara bagi permohonan baucar RM1,000, Onn Hafiz berkata, dokumen permohonan telah dikurangkan daripada enam kepada dua dokumen dan baucer akan dibayar dalam tempoh 14 hari berbanding 30 hari sebelum ini.

"Bagi Rumah Mampu Biaya Johor, dokumen permohonan juga dikurangkan daripada 17 kepada lima dokumen sahaja manakala surat tawaran diterima dalam tempoh tujuh hari berbanding 30 hari sebelum ini.

"Bagi lot bumiputera, dokumen permohonan diturunkan daripada tiga kepada dua dokumen dan tempoh kelulusan diperlukan adalah tujuh hari, berbanding 180 hari sebelum ini dan bagi pindah milik pula, dokumen yang diperlukan daripada 10 kepada enam dokumen sahaja.

"Agenda perumahan adalah agenda yang sangat penting untuk saya secara peribadi, yang mana setiap bangsa Johor perlu ada rumahnya sendiri. Justeru, saya berharap agar agenda perumahan bagi seluruh bangsa Johor dapat dilakukan dengan sebaiknya dan semoga segala usaha kita itu dilimpahkan ALLAH dengan sebaik-baik balasan,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya pada Isnin. - Bernama