X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Malaysia berjaya tanam 33 juta pokok

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua, kiri) menanam pokok bakau bersama sukarelawan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Program Kembara Hijau bersama Himpunan Outdoorians Malaysia sempena Kempen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2022 di Kompleks Basikal Lasak, Sungai Batu Pahat, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Malaysia kini berjaya menanam 33 juta pokok sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 5 Jun 2021, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, 33 juta pokok itu merangkumi lebih 1,000 spesies pokok di seluruh negara.

"Perlis juga tidak ketinggalan apabila sehingga kini telah berjaya menanam 120,399 pokok iaitu bersamaan 60.20 peratus daripada sasaran 2022," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijau bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) sempena Kampen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis di sini, pada Ahad.

Berangkat ke majlis tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) Datuk Rosli Isa dan Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Indera Mohd Ridza Awang.

Takiyuddin berkata, sehingga kini Malaysia masih mengekalkan 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara dengan kawasan berhutan selaras dengan komitmen negeri di peringkat antarabangsa.

"Suka saya maklumkan KetSA telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan pertama pada 3 Mac 2022," katanya dan menambah bacaan kali kedua dan ketiga dijangka berlangsung semasa persidangan Parlimen Julai ini.

Beliau berkata, untuk makluman, perundangan ini mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan dan akhirnya dibawa ke Parlimen.

"Antara penambahbaikan utama adalah memperketatkan prosedur pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK) dengan memperkenalkan penyiasatan awam dan penggantian serentak bagi HSK yang dibawa keluar," katanya.

Takiyuddin berkata, usaha ini merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan 50 peratus daripada kawasan negara sebagai kawasan berhutan.

"Saya berharap dengan lulusnya RUU ini nanti perundangan perhutanan negara akan lebih mantap," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!