X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Penerbitan subnasional DUN bantu ADUN rancang strategi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (depan, kiri) bergambar kenangan bersama orang ramai yang hadir di majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN dan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 daerah pentadbiran di MRSM Jeli, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

JELI - [DIKEMASKINI] Penerbitan Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020 bagi daerah pentadbiran yang dilancarkan hari ini bertujuan memaparkan statistik ekonomi dan sosial yang komprehensif di peringkat DUN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penerbitan ini merupakan rujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan mengenai maklumat Banci 2020 dari peringkat nasional sehingga kawasan terkecil yang menyeluruh.

Katanya, statistik Subnasional DUN diterbitkan buat pertama kalinya untuk semua 600 DUN di negara ini meliputi 12 statistik sosioekonomi antaranya penduduk, perumahan, tenaga buruh, pendapatan isi rumah dan kemudahan asas.

"Melalui maklumat di peringkat terperinci ini, kita dapat mengetahui tahap sosioekonomi sesuatu kawasan dan kemudahan perkhidmatan dan fasiliti awam disediakan yang harus memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Justeru, penerbitan Statistik Subnasional DUN ini merupakan rujukan penting kepada pihak berkepentingan dan pembuat dasar sebagai input kepada pelaksanaan keputusan, pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan negara serta penyelidikan di peringkat negeri, daerah pentadbiran, Parlimen dan DUN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN dan Penerbitan Utama Banci Malaysia 2020 peringkat Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli, di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, statistik yang disediakan dapat membantu dan memberi maklumat awal kepada ADUN untuk merancang strategi yang bersesuaian bagi menjamin dan memberikan perkhidmatan yang terbaik di kawasan masing-masing.

"DUN N.49 Kota Iskandar, Johor mempunyai bilangan penduduk dan tempat kediaman tertinggi iaitu masing-masing 310,000 orang dan 128,007 unit tempat kediaman, diikuti N.40 Kota Anggerik, Selangor berada di kedudukan kedua tertinggi dengan mencatatkan seramai 293,000 penduduk dengan 87,947 isi rumah dan 87,526 unit tempat kediaman.

"Oleh itu, bagi melengkapkan penemuan ini, kerajaan negeri juga dapat menggunakan data yang dikeluarkan sehingga peringkat jajahan dan mukim bagi mentadbir urus negeri dengan lebih cekap," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kecekapan perancangan dan pengurusan sumber melalui statistik hingga peringkat daerah pentadbiran, Parlimen dan DUN dapat mengukuhkan ekonomi negara, pembangunan sosial serta kesejahteraan rakyat dengan lebih berkesan dan bermanfaat.

"Semoga melalui ketersediaan data hingga peringkat terkecil ini dapat dimanfaatkan untuk merancang dan memantau dasar awam setempat dengan lebih kejat atau teguh, supaya hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif, " katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!