X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

IPT disaran perluas kerjasama dengan universiti teknikal luar negara

Noraini Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Pengajian Tinggi (IPT) disaran memperluaskan kerjasama yang lebih besar dan menjalinkan kolaborasi strategik dengan universiti teknikal luar negara bagi memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan pada Ahad berkata, bagi memperluas jaringan strategik antarabangsa itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gheorghe Asachi Technical University of Iaşi (TUIASI).

Jelasnya, MoU itu akan memberi tumpuan kepada bahan kitar semula dan penggunaan semula produk untuk menangani isu kemampanan alam sekitar seperti pengeluaran sisa, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim.

"Ini adalah kerana kemelesetan ekonomi global, penstrukturan semula industri, transformasi tenaga kerja menyebabkan IPT perlu mencari peluang bagi pembangunan profesional berterusan untuk kekal berdaya saing dan relevan,” katanya.

Pada Sabtu, Noraini menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan antara Naib Canselor UniMAP Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan TUIASI yang diwakili Rektornya, Profesor Dan Cașcaval di TUIASI, Iasi, Romania.

Tambah Noraini lagi, kementeriannya akan menyokong dan memberi komitmen penuh kepada UniMAP dan TUIASI bagi menggalakkan dan mempromosikan kerjasama dalam pertukaran kepakaran, pengetahuan dan teknologi untuk pembangunan kakitangan serta mengambil bahagian dalam program promosi, latihan dan pembangunan untuk pelajar dan kakitangan.

Sementara itu, Zaliman berkata, tahun ini merupakan tahun ke-10 UniMAP bekerjasama dengan TUAISI, malah dua penyelidik UniMAP adalah penerima geran Erasmus+ Teaching Mobility: for Academic Staff di Faculty of Materials Science & Engineering TUAISI dan penglibatan mereka adalah dengan menyampaikan kuliah dan penyelidikan bersama. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!