KKR tubuh pasukan petugas tangani isu kerosakan jalan Telupid-Beluran

Fadillah (tiga dari kanan) dan Arthur Kurup (dua dari kanan) meninjau Pakej Kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Jalan Lama Papar pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah (tiga dari kanan) dan Arthur Kurup (dua dari kanan) meninjau Pakej Kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Jalan Lama Papar pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PAPAR - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menubuhkan satu pasukan petugas bagi menangani isu kerosakan jalan di Telupid-Beluran di Sabah, dan seterusnya mencari langkah penyelesaian segera dalam usaha menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Kurup dan dianggotai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat konsesi serta agensi terlibat dalam pembinaan dan penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, pasukan petugas itu juga akan mengumpul data dan mengemukakan cadangan berkaitan kepada kementerian, selain memastikan konteks penyelenggaraan jalan raya dilakukan sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan ketidakselesaan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu kerosakan jalan di Telupid-Beluran, ia memerlukan pembinaan jalan baharu yang melalui projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan.

"Satu daripada cabaran kita juga adalah bagaimana hendak menangani (isu) kenderaan lebih muatan kerana kita sedar jalan (sedia ada) keadaanya sudah tamat tempoh, maknanya kita kena bina semula atau bina baharu, kerana tanah sudah tidak mampu menampung keadaan semasa.

"Sehubungan itu, pasukan petugas ini akan bermesyuarat dengan kadar segera kerana ketidakselesaan ditanggung pengguna perlu diberi perhatian, dan pasukan petugas ini akan memberi fokus untuk mengenal pasti kawasan kritikal yang boleh dibaiki dahulu," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sebelum itu, Fadillah meninjau pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah - WP05 yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Donggongon, Penampang, ke simpang Jalan Papar Spur sempena Jelajah FTRoadpedia KKR.

Katanya, pakej kerja melibatkan jalan dari Donggongon ke Simpang Jalan Spur itu merupakan pakej kerja pertama yang dilaksanakan bermula pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap sepenuhnya Jun ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, status kemajuan terkini bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah fasa pertama adalah sebanyak 57 peratus melibatkan 15 pakej kerja yang telah dibuat pelantikan kontraktor untuk kerja-kerja pembinaan. - Bernama