14 ekor gajah liar ceroboh tiga kampung di Lata Rek

Penduduk di Lata Rek sempat merakam kehadiran gajah liar di kawasan kediaman mereka.
Penduduk di Lata Rek sempat merakam kehadiran gajah liar di kawasan kediaman mereka.
A
A
A

KUALA KRAI - Sebanyak 14 ekor gajah liar dipercayai dari kumpulan Awang Tok Uban didakwa telah menceroboh masuk ke tiga buah kampung di Lata Rek di sini petang Khamis lalu.

Kehadiran sekawan gajah liar itu menyebabkan lebih 100 keluarga dari tiga buah kampung iaitu Kampung Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan diselubungi kebimbangan selepas haiwan tersebut merosakan kawasan kebun untuk mencari makanan.

Wakil penduduk, Mohd Rizuman Hanafi, 37, berkata, kejadian gajah liar menceroboh masuk ke kawasan kampung bukan perkara baharu malah semakin menjadi-jadi ketika ini.

"Kumpulan gajah liar mula menceroboh masuk ke kawasan kampung sejak 2020. Ketika itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berjaya menangkap salah seekor daripada kumpulan gajah tersebut iaitu Awang Tok Uban," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, sejak itu kumpulan gajah yang terbahagi kepada dua iaitu 14 dan 16 ekor terus menceroboh masuk ke kawasan kebun dan penempatan penduduk bersilih ganti.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan penduduk menjadi takut untuk keluar menoreh getah.

Pondok yang dibina penduduk untuk berteduh semasa menguruskan kebun turut dirobohkan oleh gajah liar.
Pondok yang dibina penduduk untuk berteduh semasa menguruskan kebun turut dirobohkan oleh gajah liar.

Mohd Rizuman berkata, susulan itu lebih 20 penoreh getah terpaksa 'menggantung' pisau toreh selepas tidak berani untuk masuk ke kawasan kebun.

"Sudah tiga hari saya dan penduduk tidak dapat keluar menoreh getah.

"Apabila tidak dapat keluar menoreh, pendapatan kami terjejas kerana menoreh getah merupakan sumber pendapatan utama penduduk di sini untuk menyara keluarga," katanya.

Menurutnya, penduduk kampung telah membuat laporan berhubung pencerobohan gajah itu ke Perhilitan.

Katanya, penduduk berharap Perhilitan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah tersebut.

Sinar Harian pada 18 Oktober 2020 lalu melaporkan, seekor gajah jantan berusia 30 tahun di Kampung Tok Uban, Sungai Rek di sini yang ditangkap Perhilitan berjaya dipindahkan dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai.