Sila log masuk terlebih dahulu.

Zuraida masih menteri kabinet, kedudukan ditentukan selepas pertemuan

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin masih lagi menteri kabinet dan kedudukannya akan ditentukan selepas mereka mengadakan pertemuan.

Ismail Sabri berkata, Zuraida masih lagi boleh menyertai mesyuarat kabinet, memandangkan beliau belum lagi memutuskan sama ada Zuraida sudah pun dipecat secara rasmi ataupun tidak.

“Setakat ini dia (Zuraida) masih boleh menghadiri (mesyuarat kabinet) sebab dia tak letak jawatan sebagai menteri kabinet dan saya pun tak pecat dia sebagai menteri kabinet.

“Jadi dia masih lagi menteri kabinet sehingga mesyuarat pada hari Rabu ini. Walaupun dia berjumpa saya, saya tak tahu buat keputusan atau tidak.

“Maknanya sehingga saya memutuskan untuk dia berhenti sebagai menteri dan saya melantik menteri yang lain,” katanya menerusi satu sidang akhbar di Tokyo pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada Zuraida masih lagi boleh menyertai mesyuarat kabinet susulan keputusan beliau yang berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Pada Khamis, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan tersebut selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa setakat ini masih lagi tiada sebarang keputusan mengenai perletakan jawatan Zuraida dalam kabinet.

“Kita tahu lagi apa yang sebenarnya. Semua orang berhak untuk memberi pandangan dan saya menghormati setiap pandangan yang diberi. Ini mungkin (boleh) jadikan sebagai landasan saya untuk membuat keputusan seterusnya. Tetapi setakat ini tiada sebarang keputusan,” tegas beliau.