X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Pertemuan PM Malaysia, Jepun eratkan hubungan dua hala

Ismail Sabri adakan pertemuan dengan Fumio Kishida bagi membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin, di Pejabat Perdana Menteri Jepun pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

TOKYO - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bagi membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin, di Pejabat Perdana Menteri Jepun, pada Jumaat.

Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara Ismail Sabri dan Kishida, untuk kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan perbincangan dua hala, sejak menerajui kerajaan masing-masing pada 2021.

Ismail Sabri dan Kishida sebelum ini pernah mengadakan sidang Jepun-Malaysia melalui panggilan telefon pada 20 April lepas, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Ini juga merupakan kali pertama Kishida menjadi hos kepada perdana menteri Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lepas.

Pertemuan itu adalah bersempena lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke Jepun, yang menyaksikan Perdana Menteri Malaysia turut mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia, yang merupakan perhimpunan tahunan pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik; di samping bertemu tokoh perniagaan dan korporat di Jepun bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

Ia merupakan lawatan kerja rasmi pertama Ismail Sabri ke Jepun semenjak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang telah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!