LZS bantu asnaf terputus sumber kewangan

Skuad SSU LZS menyantuni keluarga tersebut di Serendah, di sini pada Khamis dengan menghulurkan wang tunai untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga tersebut.
Skuad SSU LZS menyantuni keluarga tersebut di Serendah, di sini pada Khamis dengan menghulurkan wang tunai untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga tersebut.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebuah keluarga asnaf yang tinggal di Serendah, di sini terputus sumber kewangan untuk membeli keperluan keluarga.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS segera melawat keluarga tersebut pada Khamis untuk memberikan bantuan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Menurut hantaran tersebut, suami keluarga berkenaan bekerja di pasar dan berpendapatan kecil manakala isterinya seorang suri rumah menguruskan dua anak kecil, seorang anak saudara yatim piatu dan ibu bapa yang uzur.

"Keluarga ini tetap berusaha menambah pendapatan menjual kerepek sejak Ramadan lalu.

"Namun keperluan tanggungan ramai di samping faktor kesihatan ibu bapanya memerlukan kewangan yang lebih," kata hantaran tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, LZS memaklumkan, pihaknya segera memproses bantuan kewangan bulanan dan bakal disalurkan kepada keluarga berkenaan bermula bulan hadapan.

Ujarnya, bantuan lain akan menyusul mengikut keperluan keluarga tersebut dari semasa ke semasa.

"Mereka yang terputus bekalan makanan dan hadapi situasi getir dalam keperluan hidup sangat perlukan bantuan segera.

"LZS terus mengorak langkah menyantuni mustahiq dengan sebaiknya.

"Bantulah kami agar info sampai terus dan kami mampu mengambil tindakan pantas menyantuni mustahiq," katanya.