SPRM siasat kes seludup 119 etnik Rohingya

Maritim Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya selain tangkapan empat warga tempatan di perairan Sungai Kedah, Kedah Selasa lalu. (Gambar kecil: Shaharom Nizam)
Maritim Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya selain tangkapan empat warga tempatan di perairan Sungai Kedah, Kedah Selasa lalu. (Gambar kecil: Shaharom Nizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes membabitkan empat lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam yang disyaki terlibat menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah, Kedah baru-baru ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, tindakan awal SPRM adalah mengenal pasti kesalahan yang berlaku sekiranya mengesan sebarang bukti rasuah.

"SPRM akan mengambil tindakan sekiranya ada bukti-bukti berlaku perbuatan rasuah.

"Kita amat memandang serius perlakuan terbabit dan mana-mana pihak perlu diberi amaran kerana tali barut penyeludup manusia ini boleh menggugat keselamatan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit kepada SPRM.

Sinar Harian melaporkan cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

Warga tempatan terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala warga asing diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.