Pengalaman taruhan Real Madrid di Paris

Modric yakin pengalaman dimiliki Real Madrid menjadi kekuatan mereka untuk mengharungi perlawanan akhir Liga Juara-Juara berdepan Liverpool Ahad ini.
Modric yakin pengalaman dimiliki Real Madrid menjadi kekuatan mereka untuk mengharungi perlawanan akhir Liga Juara-Juara berdepan Liverpool Ahad ini.
A
A
A

PENGALAMAN beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi menjadi taruhan juara 13 kali Real Madrid apabila berdepan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara di Stade de France, Paris awal pagi Ahad ini.

Biarpun begitu menurut pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, Los Blancos kendalian Carlo Ancelloti itu kini lebih tenang dengan status bukan pilihan.

"Kami mempunyai pengalaman dalam pertandingan ini. Beberapa pemain juga telah beraksi dalam empat perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebelum ini.

"Ya, kali ini kami sekali lagi bertuah apabila dapat berada dalam pertandingan kelima. Namun sekali lagi kami perlu cuba menjadi normal dalam mengharungi perlawanan ini.

"Sejujurnya tiada pasukan pilihan di final. Liverpool adalah pasukan hebat, mereka mengharungi musim hebat, mereka memenangi dua piala, mereka berjuang untuk liga sehingga tamat...Ya, tiada pasukan pilihan tetapi kami mempunyai keyakinan tinggi berdasarkan pengalaman lalu," kata Modric.

Untuk rekod, juara La Liga itu beraksi di pentas perlawanan akhir Liga Juara-Juara kelima sejak 2014.

Setelah memenangi tujuh perlawanan terakhir sejak 1998, kelab sensasi Sepanyol itu sekali lagi memburu mahkota ke-14, yang mengulangi perlawanan akhir ulangan edisi 2018 ketika mengalahkan Liverpool 3-1 di Kiev, Ukraine.

Real Madrid juga tampil dominan memenangi tiga perlawanan akhir berturut-turut antara 2016-2018 di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Pada masa sama, Modric berkata, Ancelotti yang membantu kelab itu memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara ke-10 pada 2014, tidak banyak melakukan perubahan ketika membawa Los Blancos kembali ke final.

“Dia sama, apa yang kami suka tentang dia ialah keperibadiannya, kerendahan hatinya, cara dia bercakap dengan pemain, cara dia mendekati kami.

"Apabila anda memiliki orang seperti dia di sekeliling anda, anda akan memberi lebih banyak di padang dan untuknya. Itulah sebabnya Carlo merupakan jurulatih istimewa, antara yang terbaik dalam dunia bola sepak.

"Sisi dia kepada kami adalah yang terbaik, itulah yang paling kami sukai dan yang terbaik untuk pasukan ini," katanya.

Untuk rekod, Real Madrid tewas dalam setiap perlawanan kalah mati pertama menentang Paris St Germain (PSG), Chelsea dan Manchester City, namun masih berpeluang mara ke final apabila menang dengan agregat satu gol dalam setiap pusingan.

Sementara itu, Ancelloti mengakui para pemain Real Madrid memiliki kekuatan dari aspek mentaliti untuk mengharungi perlawanan akhir tersebut.

“Keperibadian dan pengalaman yang dimiliki pasukan ini, anda tidak boleh mengatakan ia adalah tuah.

"Saya sangat berbangga dengan pemain saya...Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menguruskan mereka. Mereka semua profesional setiap hari, termasuk pemain yang tidak bermain," katanya.