X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bina lebih banyak rumah kos rendah RM47,000 di Sabah

Kerajaan Sabah diharap dapat memperbanyakkan lagi pembinaan rumah kos rendah melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Masiung)
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah diharap dapat memperbanyakkan lagi pembinaan rumah kos rendah melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 30,000 permohonan rakyat Sabah untuk mendapatkan rumah kos rendah.

Jelasnya, rumah kos rendah dibina oleh LPPB melalui peruntukan kerajaan negeri dan dijual kepada rakyat dengan harga RM47,000.

"Sebagai pengerusi, saya ingin menyatakan hasrat kita supaya pihak kerajaan negeri mengambil serius hal ini kerana saya mendapati setakat ini kita mempunyai lebih 30,000 rakyat yang memohon untuk mendapatkan rumah kos rendah.

"Golongan yang kita sasarkan ialah bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Jadi apabila saya melihat sendiri senarai itu, saya agak simpati begitu besar jumlah yang diperlukan oleh rakyat Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut bagaimanapun tidak menafikan bahawa faktor kewangan menjadi kekangan untuk membina rumah kos rendah dengan lebih banyak.

"Kita di pihak LPPB tidak mampu menyediakan, jadi kita harap melalui program Sabah Maju Jaya (SMJ) pihak pimpinan kerajaan negeri mengangkat isu ini sebagai satu objektif utama untuk kita menyediakan rumah kepada rakyat kita di Sabah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan pimpinan kerajaan negeri mempunyai visi untuk membina 10,000 rumah kos rendah.

"10,000 unit itu bukanlah dalam jangka masa setahun dua tahun, mungkin lima tahun atau 10 tahun dan kita harus optimis untuk melaksanakan visi itu sebab jika tidak bermula sekarang, ia tidak bergerak.

"Bagi kawasan bandar pula, nilai tanah agak mahal jadi untuk membina rumah kos rendah memerlukan kajian yang terperinci.

"Bagaimanapun, di pihak LPPB mana-mana tanah yang kita bekerjasama dengan pihak pemaju kita sarankan mereka membuat rumah mampu miliki iaitu RM250,000 ke bawah untuk rakyat kita yang kurang berpendapatan tinggi mendapatkan rumah, " katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!