Jawatan Zuraida terbatal sejak dua minggu lalu: Hamzah

Hamzah ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri 2022 anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Lobi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Khamis.
Hamzah ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri 2022 anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Lobi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah terbatal sejak dua minggu lalu, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis.

Beliau berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik individu lain untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut berikutan tindakan Ahli Parlimen Ampang itu yang sudah beberapa kali tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Presiden telah bersetuju pada dua minggu lepas untuk menggantikan beliau dengan orang lain. Jawatan dia sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dilantik presiden dengan serta-merta terbatal.

"Kerana presiden ingin melantik orang lain ke jawatan tersebut selepas saya menulis surat tunjuk sebab kepada beliau (Zuraida), cuma saya belum maklum kepada beliau kerana hendak menunggu jawapan (surat tunjuk sebab)," katanya.

Hamzah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri 2022 anjuran Jabatan Imigresen Malaysia di Lobi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Khamis.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Zuraida keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kekal memberi sokongan kepada pucuk pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut memaklumkan, beliau akan berjumpa dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai peletakan jawatannya sebagai menteri kabinet.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, jawatan Zuraida dalam kabinet akan digantikan oleh wakil dari Bersatu yang akan dipilih oleh presiden dengan persetujuan Perdana Menteri.

Ditanya berkenaan impak tindakan Ahli Parlimen Ampang tersebut kepada Bersatu, Hamzah yakin keputusan Zuraida untuk menyertai PBM tidak memberikan kesan kepada pihaknya.

"Dia sebenarnya tidak begitu aktif di dalam parti. Bagi saya dengan tindakannya itu, dia sudah menunjukkan dirinya yang sebenar di mana dia hanya menggunakan parti untuk kepentingan sendiri.

"Kita telah hantar surat jemputan secara peribadi kepada setiap ahli tetapi beliau tidak hadir ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi lebih daripada enam kali, mesyuarat agung pun dia tidak hadir.

"Kita beri peluang kepada semua orang termasuk Zuraida. Sama ada mereka ingin menggunakan platform parti untuk membantu rakyat atau apa sahaja, tindakan mereka perlu selari dengan agenda parti dan mengikuti pergerakan parti," ujarnya.