[VIDEO] Muhyiddin akan namakan pengganti Zuraida di kabinet: Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan calon sesuai daripada parti itu bagi menggantikan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam jawatan kabinet.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia susulan tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu yang mengumumkan keluar Bersatu dan berhasrat meletak jawatan sebagai sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata, tindakan Zuraida itu merupakan sesuatu yang sudah dijangka dan tidak mengejutkan.

Katanya, ini kerana Bersatu sebelum ini telah membincangkan mengenai kedudukan Zuraida selepas meneliti tindakan terkini pemimpin tersebut.

“Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut.

Biro Politik Bersatu juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti.

“Kerana itulah, bagi saya, tindakan Datuk Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka.

“Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya YB Datuk Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.