IKMa bakal dinaik taraf jadi universiti swasta

Noh (tiga dari kiri) menyerahkan surat kelulusan universiti kepada Rosli (dua dari kanan).
Noh (tiga dari kiri) menyerahkan surat kelulusan universiti kepada Rosli (dua dari kanan).
A
A
A

PETALING JAYA - Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan dinaik taraf menjadi universiti swasta dan bakal dikenali dengan nama Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, IKMa sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dinaik taraf sebagai universiti.

Menurutnya, pengambilan pertama untuk kemasukan ke universiti itu akan dibuat pada September depan dengan sasaran seramai 1,000 pelajar.

"Kewujudan universiti ini juga adalah satu kejayaan selain sempena 100 tahun lahirnya koperasi di negara kita. Kita akan menawarkan 14 bidang merangkumi sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan foktor falsafah.

"Buat masa sekarang, kita dalam proses dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan beberapa perkara akhir lain sebelum mencari tenaga pengajar untuk mengajar.

"Kita akan menggunakan tapak IKMa ini kerana yang berada di Petaling Jaya sebagai kampus universiti kerana telah ada kemudahan seperti makmal, perpustakaan dan asrama sebelum perancangan untuk berpindah ke lokasi lain," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan surat kelulusan penubuhan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia pada Khamis.

Surat kelulusan tersebut diserahkan oleh Noh kepada Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Mengulas lanjut, Noh berkata, penubuhan universiti itu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan di sektor koperasi di samping membekal tenaga sumber manusia lepasan graduan ke sektor tersebut.

"Sebab itu, kita akan bekerjasama dengan koperasi-koperasi besar lain dan apabila pelajar di sini sudah tamat belajar, mereka akan ada tempat untuk bekerja di koperasi ini," katanya.

Dalam majlis sama turut diadakan Pelancaran Perpustakaan Tan Sri Noh Omar dan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perpustakaan tersebut telah ditubuhkan selari dengan visi penubuhan IKMa itu sendiri iaitu memperkasa modal insan koperasi ke arah kecemerlangan selain menyokong keperluan latihan dan kursus yang dijalankan IKMa.

Ia dikendalikan oleh kakitangan yang profesional dan mempunyai lebih 30,000 koleksi bahan monograf seperti buku, bahan terbitan bersisi majalah, laporan tahunan yang terdiri daripada pelbagai subjek termasuk bidang khusus iaitu keusahawanan dan koperasi.

Perpustakaan Tan Sri Noh Omar beroperasi dengan menggunakan kaedah digital seperti penggunaan sistem perpustakaan yang canggih dan juga mengikut standard klasifikasi perpustakaan iaitu Library Congress Classsification atau LCC bagi mengurus dan merekod semua bahan koleksi.