X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Sekatan eksport ayam untuk tampung bekalan di Malaysia

Peniaga Rashid Taha menunjukkan ayam yang dijualnya di Pasar Besar Kota Kinabalu hari ini. Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Sekatan untuk mengeksport ayam bulat ke negara lain dibuat sementara bagi menampung keperluan bekalan ayam yang semakin berkurangan di Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan 1.8 hingga 2 juta ekor ayam sehari dan disebabkan beberapa faktor, industri ayam tidak mampu mengeluarkan kapasiti yang lebih untuk keperluan negara.

"Sebelum ini negara mampu mengeksport sehingga 3.6 juta ekor ayam sebulan iaitu kira-kira 100,000 ekor sehari...namun tindakan perlu diambil untuk memastikan bekalan ayam di negara kita mencukupi.

"Industri ayam sebenarnya memenuhi keperluan negara, namun kapasiti tidak mencukupi untuk dieksport," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Agrobank kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, antara masalah dihadapi industri ayam pada ketika ini adalah penyakit, kos dan kekurangan buruh.

"Oleh itu, kementerian menjalinkan kerjasama dengan pihak industri untuk meleraikan masalah berkenaan. Kita harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar kita boleh kembali mengeksort ayam," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis itu beliau berkata, Agrobank sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan hari ini telah menyerahkan sumbangan zakat perniagaan bernilai RM540,569.95 kepada MUIS.

"Agihan zakat perniagaan ini adalah amalan Agrobank setiap tahun setelah mengambil kira keuntungan bersih syarikat dan agihan zakat pendapatan dilakukan di setiap negeri di negara ini mengikut pengiraan tertentu.

"Bayaran zakat perniagaan kepada MUIS ini adalah satu daripada usaha bagi membentuk pembangunan kemasyarakatan setempat dan komuniti di Sabah.

"Ia sudah menjadi tanggungjawab Agrobank, sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab sosial kami bagi membantu golongan kurang mendapat perhatian dan liputan," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!