X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

'RM6 juta sumbangan politik, bukan balasan kontrak pembekalan cip pasport'

Ahmad Zahid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB). Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan bukannya rasuah.

Ahmad Zahid, 69, berkata, tuduhan bahawa cek itu yang diterima melalui bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben sebagai balasan untuk melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport selama lima tahun adalah tidak benar dan fitnah.

"Saya menegaskan bahawa keputusan untuk melantik DTSB bukan keputusan daripada saya. Saya tiada kuasa membuat keputusan akhir kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

"Proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen berhubung penganugerahan projek kontrak polikarbonat kepada DTSB adalah teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak tersebut dianugerahkan kepada DTSB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Ahmad Zahid berkata, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (bekas Pengarah DTSB) mengemukakan surat "Permohonan Untuk Membekalkan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 Juta Cip yang akan Dimasukkan Ke Dalam Halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia Kepada Kerajaan Secara Rundingan Terus.”

"Apabila melibatkan rundingan terus, ia melibatkan arahan perbendaharaan dan juga perolehan dalaman Kementerian Dalam Negeri. Seterusnya, saya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan yang akan menentukan rundingan terus telah dianugerahkan kepada mana-mana syarikat yang telah membuat permohonan bukan di peringkat Perolehan Kementerian Dalam Negeri,” jelasnya.

Kepada soalan Ahmad Zaidi, bagaimana beliau mengenali Mohamed Hashim, Ahmad Zahid berkata beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri pertahanan mengenali Mohamed Hashim yang ketika itu Panglima Tentera Darat.

"Beliau (Mohamed Hashim) seterusnya menjadi pengarah beberapa syarikat tersenarai termasuk pengarah DTSB. Saya mengenali beliau lebih 20 tahun sejak berada di Kementerian Pertahanan bukan kerana penglibatannya dalam perniagaan tetapi sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, syarikat Sarana Kencana adalah milik Mohamed Hashim dan Datuk Abu Hanifah Noordin (bekas Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, Abu Hanifah yang merupakan saksi pendakwaan ke-32 telah memberitahu mahkamah bahawa cek tersebut diberikan kepadanya sebagai dana politik, sebahagian daripada amal jariah.

"Chew Ben Ben (saksi pendakwaan ke-34) juga ada memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan yang mana beliau menyatakan berdasarkan kefahaman beliau, wang politik juga termasuk sebagai amal jariah.

"Datuk Abu Hanifah dan Chew Ben Ben juga menyatakan pemberian kedua-dua cek ini tiada kena mengena dengan lantikan DTSB untuk melaksanakan kontrak polikarbonat, malah cek tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co adalah sumbangan politik kepada saya,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik DTSB untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen menerusi rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!