Singapura sahut cabaran Kejohanan Trek Kebangsaan 2022

ABU SAMAH
ABU SAMAH
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan penganjuran Kejohanan Trek Kebangsaan 2022 buat pertama kalinya akan disertai pelumba Singapura.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pihaknya telah menerima dan meluluskan permohonan Persatuan Berbasikal Singapura (SCA) untuk menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan bermula esok.

Katanya, permohonan rasmi SCA dikemukakan oleh jurulatih kelahiran Selangor, Rizal Tisin.

"Perkara ini dibincangkan secara serius oleh PKBM kerana ia kali pertama. PKBM menerima dan meluluskan permohonan SCA kerana ia boleh memberi dimensi dan cabaran baharu kepada pelumba negara, secara tidak langsung akan wujud persaingan sihat,” katanya yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) dalam kenyataan pada Khamis.

Berdasarkan borang pendaftaran diterima PKBM, SCA menyenaraikan seorang pelumba elit lelaki, Mohamed Elyas Mohamed Yusof bagi acara keirin dan pecut individu.

Sementara itu, tanpa kelibat jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, tumpuan kejohanan terbabit terarah kepada Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Dua pelumba tersebut yang akan dipertaruhkan untuk memburu pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, pada Julai ini telah mengesahkan penyertaan dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin dan pecut individu.

"Rasanya semua pihak khususnya (ketua jurulatih berbasikal trek negara) John Beasley sangat teruja untuk melihat prestasi semasa Shah Firdaus dan Fadhil. Mereka ialah calon pemenang pingat Sukan Komanwel 2022,” katanya.

Pelumba ternama Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandie Lakasek turut mengesahkan penyertaan dalam empat acara iaitu madison, point race, scratch race dan omnium.

Baru-baru ini, peminat sukan tanah air dikejutkan apabila Mohd Azizulhasni mengumumkan beliau menjalani pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali AAORCA (anomalous aortic origin of right coronary artery) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne. - BERNAMA