MOTAC sasar pelancong dari tiga negara

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan plakad kepada Pengurus Besar Jualan Iklan Grup Sinar Karangkraf, Airol Fadley sebagai rakan media tempatan pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Expedia Group Media Solutions yang diadakan di Kuala Lumpur. FOTO - SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan plakad kepada Pengurus Besar Jualan Iklan Grup Sinar Karangkraf, Airol Fadley sebagai rakan media tempatan pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Expedia Group Media Solutions yang diadakan di Kuala Lumpur. FOTO - SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan tiga pasaran melibatkan kedatangan pelancong dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran kedatangan pelancong itu adalah dalam tempoh tujuh bulan bermula Mei hingga November ini melalui platform pelancongan global Expedia.

“Saya tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong melalui Expedia sekali lagi terutamanya dengan pembukaan semula sempadan negara dan sekatan mudah.

“Seperti yang anda sedia maklum, Malaysia pada masa ini merupakan salah sebuah daripada beberapa negara yang menawarkan kemudahan sekatan kemasukan untuk pelancong masuk.

“Selain daripada menikmati perjalanan tanpa kuarantin, pelancong yang divaksin sepenuhnya tidak lagi perlu menjalani ujian Covid-19 untuk pra-pelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 Mei 2022.

“Insurans perjalanan juga tidak lagi menjadi prasyarat bagi warga asing memasuki negara ini,” katanya.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama rakan media tempatan pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Expedia Group Media Solutions yang diadakan di Kuala Lumpur. FOTO - SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama rakan media tempatan pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Expedia Group Media Solutions yang diadakan di Kuala Lumpur. FOTO - SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) Tourism Malaysia dan Expedia Group Media Solutions serta Pengenalan Rakan Media Domestik sempena Kempen Cuti-Cuti Malaysia 2022 pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nancy menjelaskan, kerjasama bersama Expedia pada Ogos 2019 hingga Februari 2020 telah berjaya menjana 156,573 pelancong ke Malaysia dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jepun melalui platform mereka dalam masa enam bulan.

Tambahnya, pada tahun ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 62,449 pelancong dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia akan melancong ke Malaysia.

“Kempen ini akan mempromosikan destinasi di Malaysia di bawah pelbagai tema dan dan minat iaitu pengembaraan, pantai, budaya, kepelbagaian, ekopelancongan, permata tersembunyi dan pelancongan pengalaman,” katanya.

Nancy berkata, selain meningkatkan promosi pelancongan untuk pasaran antarabangsa, pihaknya juga menumpu meningkatkan untuk pasaran domestik bersama-sama dengan media tempatan.

Jelasnya, terdapat 11 media yang akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menghasilkan satu siri kandungan berjenama atau program khusus bagi memenuhi pasaran tempatan.

Menurutnya, media ini ialah Sinar Harian, Astro, Media Prima Omnia, Star Media Group, RTM, Nanyang Siang Pau, Borneo Post, Free Malaysia Today, Radio BFM 89.9 Radio, KLIA TV dan AEON.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peranan Expedia, Nancy dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan kolaborasi bersama platform pelancongan global itu boleh membantu pelancong dari tiga negara terbabit untuk melancong ke negara ini.

“Kalau dahulu ramai pelancong dari Amerika Syarikat datang, kali ini kita mengharapkan ada kumpulan besar yang datang ke Malaysia dan seterusnya adalah Australia yang dekat dengan kita.

“Peranan mereka adalah untuk membantu meramaikan lagi pelancong-pelancong untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.