X

Kindly register in order to view this article
!

Bukit Golan: Malaysia minta bangkit menentang AS

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Citizens International semalam, mengutuk pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Bukit Golan di Syria sebagai sebahagian wilayah Israel.

Pengerusi Citizens International, S M Mohamed Idris berkata, tindakan Trump itu bukan sahaja melanggar Resolusi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

(PBB) dan prinsip undang-undang antarabangsa, malah telah menimbulkan kemarahan banyak pihak.

"Selain Malaysia, Jerman, Rusia, Perancis dan Turki turut mengecam tindakan pentadbiran AS yang dilihat memperlekehkan undang-undang antarabangsa.

"Trump membuat keputusan mengiktiraf Bukit Golan milik Israel hanya berdasarkan kawalan rejim Zionis di wilayah berkenaan. Walhal, kawasan sempadan itu kekal milik Syria walaupun dirampas Zionis pada 1967," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, dalam usaha mendapatkan keadilan bagi Syria, S M Mohamed menggesa komuniti antarabangsa termasuk Malaysia bangkit bersama-sama menentang tindakan Trump.

Beliau menasihatkan supaya semua pihak jangan sesekali gentar dengan kuasa AS yang disifatkan bakal merosot dengan cepat.

"Justeru, saya menyeru kerajaan Malaysia bertindak mencadangkan kepada PBB untuk merujuk Mahkamah Antarabangsa bagi mendapatkan beberapa pandangan utama berkaitan isu ini seperti kesahihan kerajaan AS mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.

"Selain itu, melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan AS susulan tindakan mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa pada masa sama sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang diperlakukan kejam di bawah sistem pemerintahan apartheid rejim Israel," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kerajaan menulis surat kepada AS termasuk meminta anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyokong Presiden Turki, Recep Tayyip Endogan yang akan mengetengahkan isu 'rampasan' Bukit Golan ke PBB.

Terdahulu, baru-baru ini Trump mengisytiharkan Bukit Golan di Syria yang dirampas Zionis sejak 1967 adalah milik Israel. Beliau telah menandatangani dokumen pengiktirafan kawasan tersebut sambil disaksikan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kesan pengisytiharan itu telah menimbulkan kemarahan banyak pihak yang mendakwa Trump cuba membiarkan rejim Zionis melakukan pencabulan hak asasi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus