X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Tarikh 29 Mei undang saspens

Salah satu poster kontroversi tentang gesaan untuk merobohkan Masjid Kubah Batu yang dikongsi kumpulan pelampau Yahudi tersebut. - Foto: Agensi
A
A

TEL AVIV - Tindakan provokasi membenarkan penganut Yahudi melakukan upacara keagamaan di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) dikhuatiri boleh mencetuskan perang agama yang turut dibantah keras pihak berkuasa Palestin kerana disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap status quo di lokasi suci tersebut.

Amaran itu diberikan Ketua Hal Ehwal Luar Parlimen (Knesset) dan Jawatankuasa Pertahanan, Ram Ben Barak pada Isnin, sehari selepas Mahkamah Majistret di Baitulmaqdis membatalkan perintah yang menghalang tiga penganut Yahudi untuk berbuat demikian.

“Kita perlu mengambil kira kesan jika sengaja membiarkan perkara itu berlaku ketika tempoh sensitif ini yang akan menyebabkan konflik tercetus di sini atau di rantau Arab,” tegasnya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran perarakan kontroversi oleh kumpulan ekstremis Yahudi di Haram al-Sharif yang dirancang pada Ahad ini (29 Mei) setelah ia pada mulanya dijadualkan pada 10 Mei lalu, namun ditunda setelah gagal mendapat kebenaran pihak berkuasa yang khuatir dengan amaran keras gerakan Hamas.

Difahamkan, perarakan bendera tersebut kononnya sebagai memperingati insiden pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari berakhir pada 1967.

Pada minggu lalu, pemimpin kumpulan pelampau Yahudi turut menggesa langkah perobohan Masjid Kubah Batu (Dome of The Rock) pada tarikh sama perarakan tersebut.

Bentzi Gopstein yang mengasaskan Lehava menerbitkan gesaan provokatif itu secara dalam talian dan meminta pelampau Yahudi supaya bersatu pada ‘Jerusalem Day’ dengan menceroboh ke kawasan pekarangan al-Aqsa dan merobohkan masjid tersebut bagi membangunkan kuil mereka di tapak berkenaan.

Kumpulan ekstremis itu juga menghasilkan poster dikongsi di media sosial yang sengaja mahu membangkitkan kemarahan Muslim seluruh dunia yang menunjukkan sebuah jengkaut ditempatkan bersebelahan Masjid Kubah Batu dan sebuah lagi jentera sama dilihat membawa sisa runtuhan struktur berkenaan. - Agensi

Info:

- Di bawah perjanjian antara Israel dan Jordan yang memegang peranan sebagai penjaga Haram al-Sharif pada 1967, hanya orang Islam dibenarkan beribadat di kawasan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!