X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Bekalan ayam di Johor Bahru masih dicatu

Azman menunjukkan ayam tua yang dijual di gerai selepas bekalan ayam daging yang diterima daripada pembekal terhad sejak sebulan lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga ayam di bandar raya ini meluahkan kebimbangan berikutan pembekal menghadkan bekalan bahan mentah menyebabkan jualan kepada pengguna terpaksa dicatu.

Rata-rata peniaga juga memberitahu, tiada jaminan diberikan kepada pembekal berhubung bekalan ayam akan stabil biarpun kerajaan menjelaskan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil selepas pengeksportan 3.6 juta ekor ayam sebulan dihentikan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Tinjauan dilakukan di sebuah pasar basah di Pandan dan sebuah pasar raya di sini, mendapati peniaga terpaksa menutup premis lebih awal susulan kehabisan stok selepas bekalan ayam dicatu pembekal.

Selain itu, terdapat juga peniaga yang menjual ayam tua bagi menggantikan ayam daging yang biasanya dijual mereka.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Azman, 42, berkata, sebelum ini dia menerima 1,000 ekor ayam, namun sejak sebulan lalu hanya memperoleh 100 ekor ayam daripada pembekal.

Katanya, disebabkan masalah bekalan terhad, jualan ayam akan licin dalam tempoh setengah jam selepas kedainya dibuka pada jam 8 pagi.

"Sudah lebih sebulan cuma dapat 100 ekor ayam daripada pembekal. Memang pening, sebab pelanggan ada yang mahu beli banyak tetapi kami peniaga tidak dapat disediakan.

"Sekarang ini jual ayam tua pula, mana tahu ada yang hendak beli sebab bekalan ayam daging memang terhad," katanya.

Bagi peniaga dikenali sebagai Ali, 54, pula memberitahu bekalan ayam yang terhad menyebabkan ada pelanggan terpaksa datang lebih awal ke kedainya untuk mendapatkan bahan mentah itu.

"Sudah ada pelanggan yang menunggu sebelum kedai dibuka jam 8 pagi. Mereka beritahu susah hendak dapatkan bekalan ayam dalam kuantiti yang banyak pada masa sekarang.

"Kami peniaga juga sudah sebulan dicatu bekalan daripada pembekal. Diharapkan situasi ini tidak berpanjangan kerana cukup menyusahkan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pembekal hanya menghantar kira-kira 200 ekor ayam sehari untuk setiap 20 cawangan pasar raya di negeri ini.

Katanya, jumlah itu disifatkan cukup kecil memandangkan sebelum ini pembekal menghantar kira-kira 1,000 ekor ayam ke setiap cawangan.

"Bekalan ayam yang terhad ini menyebabkan setiap pelanggan hanya boleh membeli tiga ekor ayam. Jualan ayam di setiap cawangan pasar raya juga licin dalam tempoh tiga jam sahaja.

"Ramai pelanggan yang merungut dan minta bekalan ayam di pasaran segera pulih," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!