X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Palsu dokumen: Enam kontraktor didenda RM50,000

Kesemua tertuduh berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar keputusan kes mereka pada Selasa.
A
A

ALOR SETAR - Enam kontraktor didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi Abdul Jabar,43; Mohd Yusrizal Ismail,43; Muhamad Hairi Md Ismail, 38; Ranzi Halim, 51; Muhammad Amir Che Azid, 36 dan Badaruddin Mohamad, 40.

Mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018, yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam tempoh bermula 1 hingga 22 Januari 2019 di Wisma Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur.

Muhammad Amir, Mohd Yusrizal dan Zulhilmi diwakili peguam Intan Nursyafina Baharudin manakala Muhamad Hairi, Ranzi dan Badaruddin diwakili Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.

Kesemua tertuduh dimaklumkan membayar denda masing-masing.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!