APM tangkap buaya sepanjang satu meter

Anggota APM menunjukkan buaya yang berjaya ditangkap pagi tadi. Foto: ihsan APM
Anggota APM menunjukkan buaya yang berjaya ditangkap pagi tadi. Foto: ihsan APM
A
A
A

KUANTAN - Buaya sepanjang kira-kira satu meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dipercayai tersesat dan memasuki kawasan kediaman penduduk di Kampung Peramu di sini, pagi tadi.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, penduduk mula menyedari kehadiran reptilia itu kira-kira jam 1 pagi yang dilihat berada di pekarangan sebuah rumah.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 1.04 pagi, sebelum sepasukan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, anggota APM menemui seekor buaya besar, sepanjang kira-kira satu meter dengan anggaran berat kira-kira 10 kilogram berhampiran rumah penduduk," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, buaya berkenaan berjaya ditangkap tidak lama kemudian sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Kuantan.

"Kita kemudian menyerahkan buaya tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai tidak bertindak sendiri sekiranya terserempak dengan reptilia berkenaan termasuk ular berbisa, sebaliknya hendaklah segera menghubungi pihak berkuasa.

"Ini kerana haiwan liar seperti ular dan buaya ini boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam. Kita juga tidak mahu mendatangkan risiko kecederaan kepada haiwan-haiwan berkenaan yang tersesat di kawasan kediaman manusia.

Artikel Berkaitan:

“Saya nasihatkan lapor segera kepada APM dan kita akan datang tangkap.Jangan lakukan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sekiranya tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang reptilia ganas ini," katanya.