Dulu kartel daging, sekarang kartel ayam

Exco dan Jabatan Veterinar negeri diminta untuk memantau dan melihat perkembangan terkini isu bekalan ayam agar tidak menyusahkan rakyat.
Exco dan Jabatan Veterinar negeri diminta untuk memantau dan melihat perkembangan terkini isu bekalan ayam agar tidak menyusahkan rakyat.
A
A
A

DUA tahun lalu negara Malaysia digoncangkan dengan isu sindiket kartel daging import haram di Senai, Johor Bahru yang mana melibatkan aktiviti pemalsuan pelabelan logo halal.

Pendedahan demi pendedahan baik dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa secara tidak langusng telah mencalarkan reputasi Malaysia sebagai pentas hab halal dunia.

Terkini, muncul pula isu kartel ayam apabila kerajaan mengesahkan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas selesai mempengerusikan mesyuarat kabinet, pada Isnin.

Beliau berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara tersebut dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Sebagai langkah jangka pendek kerajaan terhadap isu bekalan serta harga ayam, mesyuarat kabinet pada Isnin turut memaklumkan bahawa eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini.

Ismail Sabri berkata, larangan tersebut dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam dalam negara kembali stabil.

Sebelum ini, laporan mengaitkan dakwaan wujudnya kartel dalam industri ayam dan telur sehingga MyCC bertindak menubuhkan pasukan khas bagi melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung isu persaingan dalam industri berkenaan pada awal Februari.

Ia susulan arahan Perdana Menteri, Januari lalu supaya MyCC menyiasat kemungkinan wujudnya kartel membabitkan isu harga ayam dan telur ayam seperti diputuskan dalam Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL).

Keputusan itu merupakan satu daripada sembilan keputusan diambil NACCOL dalam usaha mengawal kenaikan harga barangan di pasaran yang menimbulkan keresahan orang ramai, terutama ketika penularan pandemik Covid-19.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berasa kesal dengan ugutan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, ugutan terhadap kerajaan itu tidak seharusnya berlaku, sebaliknya mereka perlu bekerjasama ketika negara menghadapi waktu runcing isu bekalan makanan.

Sehubungan itu, tindakan penternak mengugut kerajaan seperti itu adalah tidak profesional kerana yang terkesan nanti adalah pengguna.

Ia sepatutnya dibawa ke meja rundingan bersama semua pihak terbabit untuk mencari penyelesaian tuntas dan bukannya ugutan yang akan membawa masalah lain.