'Jagung, hampas isirung alternatif makanan ayam' - Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) akan menjadi alternatif kepada makanan ayam di negara ini.

Ia selepas mesyuarat kabinet menerima beberapa pandangan daripada ahli Jemaah Menteri mengenai perkara terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus pada Mac lalu mencadangkan agar Malaysia menggunakan PKC yang diproses sebagai makanan ayam untuk menggantikan karbohidrat dalam kacang soya dan jagung.

Zulkifli dilaporkan berkata, UPM sudah memperoleh geran di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjalankan beberapa eksperimen bagi mengurangkan kandungan serat dalam PKC supaya sesuai untuk dijadikan makanan ayam.

Pada April, kerajaan Selangor pula dilaporkan akan memulakan projek penanaman jagung khusus untuk makanan ayam selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mengatasi isu kenaikan harga makanan ternakan itu.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, projek tanaman tersebut dijalankan atas tanah seluas 400 ekar di Negeri Sembilan manakala 300 ekar lagi di negeri ini.