Selangor akan mula projek tanam jagung untuk makanan ayam

Izham - Foto Bernama
Izham - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Selangor dijangka memulakan projek penanaman jagung bagi menghasilkan makanan ayam selepas Aidilfitri, dalam usahanya mengatasi masalah kenaikan harga makanan ternakan tersebut.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata, projek tanaman di bawah Program Intervensi Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, dijalankan di tanah seluas 121 hektar (300 ekar) di negeri itu manakala 162 hektar (400 ekar) lagi di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ayam khususnya jagung, yang ketika ini mencecah bilion ringgit yang disifatkan tidak munasabah.

"Susulan itu, pihak PKPS telah mendapatkan satu syarikat berpengalaman dalam penanaman jagung bagi makanan ayam. Jadi, kita akan lihat bagaimana ia dapat menyumbang kepada kestabilan harga makanan ayam khususnya di Selangor.

"Kami harap perkara ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat agar (isu) harga ayam boleh diselesaikan, bukan setakat distabilkan tetapi diturunkan harganya. Jika berjaya dilaksanakan, Selangor akan menjadi pelopor (kepada penghasilan jagung bagi makanan ayam)," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pasar Tani Stadium Seksyen 13 di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, dijangka lebih RM3 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek penyelesaian jangka masa panjang itu dan setakat ini kerja pembersihan tanah di kawasan selatan daerah Kuala Langat sedang giat dijalankan.

"Sekarang dalam perbincangan terakhir untuk kerjasama rentas negeri antara Selangor dan Negeri Sembilan. Insya-ALLAH, selepas raya kita akan mulakan projek penanaman. Tapak lokasi di Negeri Sembilan pula kini sedang dikenal pasti.

"Perincian lanjut berhubung program itu akan diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama Yang Berhormat Izham dalam masa terdekat," katanya. - Bernama