Anwar, 4 wakil rakyat dapat kebenaran rayu cabar tindakan Muhyiddin

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat pada Isnin mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu bagi mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini membenarkan permohonan Anwar, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Anwar dan empat wakil rakyat itu gagal dalam rayuan mereka pada 24 November tahun lepas, selepas diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Seorang litigan perlu memperoleh kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Nallini dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat memihak kepada pemohon, manakala Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof mempunyai pandangan yang berbeza.

Hakim Nallini dalam keputusannya berkata, beliau dan Hakim Ong berpandangan bahawa rayuan perlu diberikan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, memandangkan ini adalah perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam.

"Kami juga berpandangan bahawa permohonan ini bukan akademik. Oleh itu kami membenarkan permohonan dengan kos,” kata Nallini.

Hakim Zabariah pula dalam keputusannya berkata peruntukan Artikel 150 (6) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahawa tiada perundangan yang digubal menurut pengisytiharan darurat akan menjadi tidak sah atas alasan tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan perlembagaan ini.

"Parlimen mempunyai kuasa semasa darurat untuk menggubal undang-undang mengenai apa-apa perkara dan apa-apa acara, walaupun dalam percanggahan dengan artikel Perlembagaan, termasuk peruntukan untuk kebebasan asasi terlibat," katanya yang menolak rayuan itu.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung sidang Parlimen darurat seluruh negara.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mariana memutuskan bahawa nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari tahun lepas, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz atas perkara yang sama manakala permohonan kebenaran Hassan ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.

Mereka juga menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan mereka. - Bernama