Kontinjen negara konsisten tuai pingat hari ke-14

Aiman ungguli acara lebuh raya lelaki Sukan SEA Hanoi 2021.
Aiman ungguli acara lebuh raya lelaki Sukan SEA Hanoi 2021.
A
A
A

PEMBURUAN pingat emas kontinjen negara tidak terhenti selepas mencapai sasaran 36 pingat emas, apabila sebutir lagi emas berjaya ditambah pada hari ke-14 Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam, pada Sabtu.

Emas tunggal kem Malaysia hadir menerusi pelumba berbasikal negara, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff pada acara lebuh raya lelaki, sekali gus menyumbangkan emas ke-37 negara berbaki dua hari sebelum temasya itu melabuhkan tirai pada Isnin ini.

Acara angkat berat juga tidak mengecewakan apabila satu lagi pingat gangsa dimenangi Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki.

Walaupun gagal menghadiahkan emas kepada Malaysia, pencapaian Muhammad Erry melakukan angkatan 143kg bagi snatch dan 173kg bagi clean and jerk 316kg, harus diberikan pujian kerana berjaya mengatasi rekodnya 141kg bagi snatch serta 171kg untuk clean and jerk untuk jumlah keseluruhan 312kg dilakukan pada 2020.

Hasrat kontinjen negara untuk menambah kilauan emas di lapang sasar menembak pula tidak kesampaian apabila gandingan penembak Johnathan Wong-Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin tampil dengan prestasi hambar dalam saingan 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran.

Pasangan negara itu, yang diletakkan harapan menyumbangkan pingat emas selepas mengungguli acara individu saingan berkenaan, gagal mara ke pentas final selepas terkandas di pusingan kelayakan.

Sementara itu, satu pingat emas sudah dalam genggaman kem Malaysia apabila dua pasangan badminton negara akan berentap pada final acara beregu campuran esok.

Pertemuan sesama sendiri pasangan Malaysia itu selepas masing-masing menundukkan lawan dari Indonesia di peringkat separuh akhir sekali gus mengesahkan pingat emas dan perak buat skuad negara dalam acara tersebut.

Lebih membanggakan, kejayaan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mara ke pentas akhir itu juga bakal mengakhiri kemarau 23 tahun negara untuk gelaran juara acara berkenaan pada temasya Sukan SEA.

Malaysia juga menaruh harapan kepada Lim Kok Leong untuk menambah koleksi emas kontinjen negara apabila pemain berusia 27 tahun itu mara ke final acara snuker perseorangan lelaki, pada Ahad.

Juara kebangsaan dua kali itu yang meraih emas pertamanya pada temasya kali ini selepas mengungguli acara perseorangan snuker 6-Red, Selasa lepas, akan berdepan legenda snuker Thailand, James Wattana, Ahad.

Sementara itu, Malaysia juga berpeluang mengintai emas dalam acara Muay Thai pada hari ke-15 temasya apabila dua peserta negara akan bertarung di saingan akhir.

Nur Amisha Azrilrizal akan beraksi dalam final acara Wanita Elit Bawah 51 kilogram (kg) menentang atlet Thailand, Srila Oo Wansawang di peringkat akhir manakala Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berdepan Huynh Hoang Phi dari Vietnam dalam acara Lelaki Elit Bawah 54kg.

Selepas berakhir hari ke-14, Malaysia kekal berada di kedudukan keenam dengan pungutan 37 pingat emas, 40 perak dan 81 gangsa.

Tuan rumah, Vietnam kekal selaku pendahulu selepas mengumpul keseluruhan 181 emas, 106 perak dan 106 gangsa, dan tidak mampu digugat pencabar terdekat, Thailand yang meraih 75-91-121 diikuti Indonesia 59-79-69, Filipina 47-65-89 dan Singapura di tempat kelima dengan 47-44-67. - Bernama