Jangan beri derma kepada sindiket peralat kanak-kanak: Hannah

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendesak orang ramai supaya tidak menyokong semua aktiviti mengutip derma atau mengemis yang menggunakan kanak-kanak.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, saranan ini bertujuan menghentikan aktiviti mempergunakan kanak-kanak kerana ia melanggar Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kalau kita lihat apa-apa sindiket orang dewasa yang guna kanak-kanak untuk mengemis, kadang-kadang pakai uniform semua itu, kanak-kanak tak boleh jalankan aktiviti mengemis di jalanan termasuk di bawah badan bukan kerajaan (NGO), kita tak benarkan kecuali mereka ada permit untuk berbuat demikian.

“Kita saran orang awam agar tidak menyokong mana-mana yang organisasi menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma kerana kita tak nak kanak-kanak dipergunakan.

“Akta kanak-kanak ada klausa Seksyen 32 iaitu mana-mana orang menyebabkan mana-mana kanak-kanak atau pemeliharaan kanak-kanak membenarkan kanak-kanak itu berada di atas jalan atau premis untuk jalankan aktiviti mengemis, sedekah, menyanyi, bermain, buat persembahan atau jualan..tisu atau pen telah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Hannah turut menegaskan, sekiranya orang awam terus memberikan derma, selagi itulah sindiket mempergunakan kanak-kanak ini akan terus berjalan.

Dalam perkembangan sama, Hannah mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan sindiket yang guna nama agama.

“Kes Kedah kit dah tutup, orang awam kena berhati-hati yang guna agama, tak kisahlah rumah ibadat agama apa pun, jangan guna kanak-kanak untuk mengemis, kalau ada tak perlu belas kasihan, kita nak hentikan sindiket kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Jika sekolah nak jalankan aktiviti kutip dana ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PiBG) kena bertanggungjawab, begitu juga dengan pertubuhan yang kononnya rumah anak yatim tapi tidak berdaftar, jangan hulur derma sebarangan, semak dulu dengan JKM sama ada ia berdaftar atau tidak,” katanya.